Tuesday 22 July 2014

Dari Sudut Hukum Agama


 
imagesdownload (1)
 
 
ISU:
Mohon penjelasan mengenai hukum menggugurkan kandungan.
 
PENJELASAN:

Pengguguran (al-ijhadh) bermaksud menggugurkan janin yang masih belum sempurna penciptaannya sebelum tiba tempoh lahirnya. (Mustafa, Ibrahim et.al.,al-Mu'jam al-wasit, cet. ke-2, Istanbul: Dar al-Da'wah, 1989, jil. 1, hlm. 144)
 
Rasulullah saw menjelaskan peringkat perkembangan janin dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Abu Abdul Rahman; Abdullah bin Mas'ud berkata, "Nabi Muhammad s.a.w., orang yang paling benar dan paling dipercayai, pernah memberitahu kami, 'Sesungguhnya setiap orang daripada kalian dicipta di dalam rahim ibunya selama 40 hari dalam bentuk titisan air mani (nutfah), kemudian dia menjadi segumpal darah ('alaqah) selama 40 hari juga, lalu menjadi seketul daging (mudghah), juga selama tempoh yang sama. Kemudian Allah menghantar malaikat supaya meniupkan roh kepadanya. Malaikat itu diberikan 4 perintah, iaitu supaya menuliskan rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya dan sama ada dia akan sengsara ataupun bahagia..." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)
 
Imam al-Ghazali (w 505H); ulama bermazhab Syafi'i menjelaskan, "Menggugurkan janin (al-ijhadh) dan menanam bayi hidup-hidup (al-wa'd) merupakan satu jenayah ke atas makhluk yang wujud. Terdapat beberapa tahap kewujudan, pertamanya ketika benih lelaki memasuki rahim wanita, lalu bercampur antara benih lelaki dan perempuan serta ia bersedia untuk menerima kehidupan, yang dinamakan nutfah (zigot). Menggugurkan nutfah merupakan satu jenayah. Jika nutfah itu berubah menjadi 'alaqah (epigenesis) dan mudghah (somit), maka jenayah menggugurkannya menjadi semakin berat. Seterusnya jika telah sempurna bentuk tubuh badannya dan telah ditiupkan roh, maka jenayah menggugurkannya menjadi lebih berat. Jenayah yang paling berat apabila bayi yang telah lahir hidup dibunuh." (al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad, Ihya' 'ulum al-din, Qaherah: al-Matba'ah al-'Uthmaniyah, 1352H, jil. 2, hlm. 47 )
 
As-Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata, "Pendapat yang lebih tepat (rajih) menurut saya ialah dilarang menggugurkan kandungan seawal usia kandungan kerana ia sudah dianggap bermulanya sebuah kehidupan dan bermulanya perkembangan janin. Melainkan jika terdapat darurat seperti penyakit yang merbahaya, kanser; atau adanya keuzuran seperti terputus susu ibu kesan daripada mengandung, sedangkan ibu itu sedang menyusukan bayinya, serta dalam masa yang sama bapa bayi itu tidak mampu membayar upah ibu susu, dan dikhuatiri situasi tersebut menjejaskan keselamatan bayi. Saya lebih cenderung kepada pendapat al-Ghazali yang menganggap pengguguran itu walaupun pada awal kandungan ia adalah seperti dosa menanam anak hidup-hidup serta ia adalah perbuatan jenayah ke atas makhluk yang hidup." (al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, cet. ke-3, Dimashq: Dar al-Fikr, 1989, jil. 3, hlm. 557)
 
Imam Qadi Khan memberikan contoh keuzuran yang membolehkan seseorang wanita menggugurkan kandungannya, "Seorang wanita yang sedang menyusukan anaknya, kemudian dia mengandung, lalu terhenti susunya, serta dalam masa yang sama bapa kanak-kanak itu tidak mampu membayar upah ibu susu, dan dikhuatiri situasi tersebut menjejaskan keselamatan kanak-kanak itu. Para ulama berpendapat, 'Wanita itu dibenarkan untuk menggugurkan kandungannya selagi ia masih berupa nutfah, 'alaqah, atau mudghah yang masih belum memiliki anggota badan.' Mereka menjelaskan tempoh kandungan itu masih belum melebihi seratus dua puluh hari. Mereka membenarkan untuk digugurkan segumpal darah tersebut, kerana ia masih belum dianggap seorang manusia. Ia dibenarkan untuk menjaga nyawa seorang manusia (iaitu kanak-kanak yang sedang menyusu tersebut)." (Qadi Khan, al-Fatawa al-Khaniyah, dlm. al-Fatawa al-Hindiyah, Misr: al-Matba'ah al-Amiriyah, 1310H, jil. 3, hlm. 410)
 
Hujah pendapat ini ialah kandungan yang masih belum ditiupkan roh masih belum dianggap sebagai seorang manusia. Oleh itu, menggugurkan kandungan yang masih berada pada peringkat nutfah, 'alaqah, dan mudghah yang belum berusia seratus dua puluh hari iaitu sebelum janin itu bernyawa, tidak dianggap sebagai membunuh seorang manusia.

Namun jika dilakukan tanpa sebarang keuzuran yang diiktiraf oleh Syarak, wanita yang menggugurkan kandungannya itu adalah berdosa. Disyaratkan perlu wujud keuzuran kerana walaupun janin itu masih belum bernyawa, tetapi ia sudah berada di dalam rahim ibunya dan sudah bermula proses kehidupan. (al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, cet. ke-3, Dimashq: Dar al-Fikr, 1989, jil. 3, hlm. 557)
 
Menurut majoriti para pakar perundangan Islam, jika dalam keadaan darurat, maka pengguguran janin yang sudah bernyawa adalah dibenarkan. Contoh keadaan darurat ialah bagi menyelamatkan nyawa ibu. Imam al-Syarbini al-Khatib; ulama bermazhab Syafi'i menjelaskan, "Jika seorang wanita mengandung terpaksa makan ubat sehingga menyebabkan kandungannya gugur, maka Wanita itu tidak bersalah." (al-Khatib, Muhammad al-Syarbini, Mughni al-muhtaj, Lubnan: Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi, t.th., jil. 4, hlm. 103.)
 
Mahmud Syaltut; mantan Syeikh al-Azhar menjelaskan, "Jika disahkan melalui kaedah yang berautoriti, keberadaan janin yang sudah bernyawa di dalam rahim boleh membahayakan nyawa ibu, maka Syariat Islam menurut kaedah umumnya menyuruh kita mengambil kemudaratan yang lebih ringan bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar, maka dibenarkan janin itu digugurkan." (Zaidan, 'Abd al-Karim, al-Mufassal fi ahkam al-mar'ah wa al-bayt al-Muslim fi al-Syari'ah al-Islamiyah, cet. ke-2, Beirut,hlm. 126-127)
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-26 pada 7-8 Mac 1990 telah membincangkan isu Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut: "Adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu." Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 pada 1 Julai 2002 juga telah membincangkan isu Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

a) "Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.

b) Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan penyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu."
 
Wallahu a'lam.